Sabtu, 6 Februari 2010

Rahsia memancing Kelah

Raja Sungai Pergunungan

Sebenarnya sukar bagi saya untuk menulis artikel kelah ini tanpa sebarang
emosi kerana kita bukannya membincangkan tentang ikan yang biasa tetapi
bercerita tentang ikan air tawar yang paling sukar untuk dipancing.
Seandainya kita terserempak dengan ikan ini di habitat liarnya sahaja tanpa
menakutkannya, itupun sudah dikirakan sebagai satu kemenangan.

Kemudian tiba pula masalah bagaimana hendak menghulurkan umpan atau gewang
kepadanya di dalam sungai yang penuh dengan kayu-kayu tumbang dan batu-batu
tajam yang pasti mentertawakan tali tangsi yang kita gunakan. Dan sekiranya
makhluk ini menyentuh dan memakan umpan kita, ia akan memecut laju bagaikan
peluru. Jika peralatan memancing anda tidak gagal semasa larian pertama
ini, anda akan berhadapan dengan halangan kedua bila makhluk liar ini mula
menjunam dan membenam ke tunggul-tunggul kayu berhampiran. Sekiranya tali
anda masih berjaya menahan amukan kelah tersebut, ianya akan berusaha
sedaya upaya sehingga ke detik terakhir untuk melepaskan diri biarpun sudah
sampai ke tebing. Memang berbaloi sekiranya anda berjaya mendaratkan seekor
kelah setelah berhempas pulas dan sengal-sengal tangan serta seluruh badan
sepanjang bertarung dengannya. Akhirnya anda pasti bersorak dengan penuh
keriangan, "Aku Berjaya!"

Pertarungan hebat dengan raja sungai pergunungan ini seumpama satu lagenda.
Ada perkara menarik yang saya ingin ceritakan melalui pengalaman seorang
kawan yang pernah mencuba nasib memancing kelah di Sg. Tanum, Pahang.
Seekor kelah yang besar telah menyambar umpannya pada pukul 1:00 petang
lalu meluru dengan pantas ke bahagian hilir sungai sejauh 50 meter,
kemudian memecut semula ke bahagian hulu dan masuk ke dalam lata yang
airnya sangat deras. Setengah jam kemudian tali 30 paunnya putus. Beliau
jatuh terduduk, seakan-akan tidak sedarkan diri dan kemudian
termuntah-muntah. Kombinasi sinar matahari yang terik dan pertarungan yang
sengit menyebabkannya begitu tersiksa.

Kelah akan menguji kemahiran anda memancing hingga ke titisan terakhir,
bukan sahaja dari segi teknik dan ketahanan peralatan yang digunakan, malah
cara anda hendak menjejaknya sewaktu memburu. Oleh itu biar saya terangkan
perkara ini dengan lebih lanjut.

Kaedah Yang Betul

Mula-mula sekali bagaimanakah cara anda hendak menghampiri lubuk kelah.
Kelah merupakan sejenis ikan yang amat liar dan sensitif kepada
persekitarannya. Ia mudah takut dan cabut lari dengan pantas sekiranya
ternampak bayangan. Anda perlu bergerak serendah mungkin dan gunakan
pakaian yang boleh menyamari alam persekitaran seperti warnaa hijau atau
biru gelap. Warna celoreng seperti pakaian ala tentera adalah yang terbaik.
Jangan timbulkan sebarang gangguan atau bunyi yang tidak diingini seperti
mengharung air ataupun terlalu kerap melontar umpan. Sekilas pergerakan
joran juga boleh memeranjatkannya. Jadi, cuba bergerak di bawah bayangan pokok.

Keduanya perihal penyampaian umpan. Lontarkan umpan ke sudut yang anda
fikir kelah berada. Nampak senang bukan? Tetapi sebenarnya ia tidak semudah
yang disangka. Kelah sentiasa bergerak bergantung kepada masa dan yang
pelik, tabiatnya berbeza di antara satu sungai dengan sungai yang lain!
Mempelajari tabiat kelah akan memakan masa beberapa hari. Jadi, jangan
sangka begitu mudah untuk mendapatkan walau seekor kelah pada kali pertama
memancingnya kecuali sekiranya anda pergi bersama dengan pemancing kelah
yang berpengalaman di sungai tersebut. Dan anda pasti mengalami pengalaman
pahit yang pemah dialaminya.

Ketiganya tentang umpan. Gunakan umpan yang kelah biasa makan tetapi bukan
mudah untuk memilih yang terbaik. Makanan semula jadi kelah ialah
buah-buahan hutan asli seperti buah neram, maris, ara, perah, jambu air dan
buah mata lembu. Jika terdapat salah satu musim buah tersebut, kelah hanya
memakan sejenis buah sahaja dan tidak akan memakan benda lain. Jadi, anda
perlu menyampaikan umpan buah tersebut mengikut keadaan semula jadi kalau
tidak lebih baik balik ke rumah.

Jika bukan musim buah tersebut, anda akan berpeluang menggunakan umpan yang
lain. Yang penting, bawa umpan dalam jumlah yang banyak kerana anda perlu
merangsang kelah terlebih dahulu supaya biasa dengan umpan tersebut, dengan
cara menabur umpan ke lubuk berkenaan selama satu atau dua hari. Antara
umpan kegemarannya ialah ubi kayu, kelapa sawit dan biji getah yang
dibakar. Sekarang ini, buah kelapa sawit merupakan umpan yang paling
popular kerana mudah didapati dengan banyak serta berbau kuat dan sangat
berkesan walaupun dalam air yang keruh.

Peralatan

Kemudian, peralatan memancing yang anda gunakan. Semua peralatan mestilah
dalam keadaan yang sangat bagus. Joran aksi sederhana berat, 7 hingga 9
kaki panjang lebih sesuai. Kekili dengan 200 meter tali 15 - 25 paun sudah
mencukupi. Tali tangsi perlulah tahan kikisan. Antara yang paling saya
gemari ialah Maxima Chameleon, Daiwa Crystal Clear dan Samurai Green. Anda
perlu menggunakan mata kail yang kuat bersaiz 1/0 hingga 6. Saya gemar
menggunakan mata kail berparuh yang bertangkai pendek jenama Daichii
(kelabu) dan Mustad Saltwater (hitam) kerana keloknya ditempa dengan baik
sehingga dapat memberi kekuatan yang padu. Walaupun tersangkut, ia tidak
akan lurus sebelum tali putus.

Mata kail diikat kepada perambut sepanjang 18 inci. Perambut yang paniang
diperlukan bagi memastikan umpan tidak ditutupi oleh daun daun mati di
dasar sungai. lkatan trilene Ouga (dikenali ikatan mahseer) adalah cara
ikatan yang terbaik. Basahkan ikatan dengan air liur sebelum mengetatkannya
secara perlahan-lahan. Anda perlu memastikan struktur ikatan terbentuk
dengan baik tanpa sebarang kecacatan yang berupaya melemahkan tali.
Sekiranya tali yang keluar daripada ikatan tersebut kelihatan kusut,
bermakna ikatan tadi tidak berapa baik. Ikat semula. Ingat, perkara sekecil
ini boleh menyebabkan kegagalan dan penyesalan ketika memancing kelah.

Kaedah memancing secara dasar dengan menggunakan batu ladung nombor 3 - 6
yang bebas bergerak merupakan pilihan terbaik Cili digunakan antara
perambut dan tali utama. Sebagai tambahan, saya sering meletakkan manik
plastik lembut antara tali utama dan cili bagi melindungi ikatan.

Terdapat juga sungai yang dipenuhi dengan batu dan kayu yang boleh
menyebabkan tali perambut sering tersangkut setiap kali lontaran. Di sini,
kita perlu mengubah taktik. Jangan gunakan cili atau batu ladung bebas
sebaliknya gunakan kepingan timah sepanjang 2 inci dan setebal 1/2 inci.
Lilitkan kepingan timah kepada tali utama dan ketatkan kedua-dua hujungnya
menggunakan playar atau gigi anda. Pelik bukan tetapi teknik ini memang
berhasil. Apabila anda melontar biarkan ia tersangkut antara batu. Biarkan.
Apabila hendak mengarau tali, keluarkan tali sepanjang 30 meter dan biarkan
air yang membawanya dan arahkan joran ke arah yang sama kemudian rembat
joran ke atas melepasi kepala dan belakang anda. Paksaan akan berlaku dari
arah hilir yang kemudiannya akan membebaskan tali tersebut. Kemudian
karaulah tali sekuat hati sebelum ia tersangkut lagi.

Kalau masih tersangkut, cuba tarik tali dengan tangan bukannya dengan
joran. Batu ladung ini akan menjadi longgar lalu membebaskan tali. Jika tak
berjaya juga, memang tiada pihhan lain kecuali tarik saja sampai putus,
jadi anda cuma kehilangan mata kail dan batu ladung buatan sendiri. Mungkin
anda memperkecilkan teknik ini sebagai tidak canggih. Sebenarnya saya
mempelajari teknik ini daripada tulisan John Wilson iaitu pemancing British
yang terkenal kerana berjaya menaikkan mahseer India seberat 90 paun dengan
menggunakan teknik yang sama.

Gewang juga boleh digunakan tetapi hanya terhad di kawasan pedalaman yang
jarang dikunjungi manusia. Dahulu, kelah di Sg. Keniam dikatakan gemar
menyambar gewang sesudu jenis Abu Atom, Abu Island dan Vibro. Walau
bagaimanapun, setelah lama menerima tekanan memancing, kelah di sini
semakin bijak dan tidak mahu lagi menyambar gewang. Saya pemah menemui
sisa-sisa serangga seperti belalang di dalam perut kelah. Din, kawan saya
yang gila memancing kelah, melaporkan bahawa sesetengah kelah bersaiz kecil
di Ulu Terengganu menggemari lundi dan belalang.

Keluarga Diraja

Di Eropah dan Amerika Utara terdapat ikan salmon, di Afrika dengan ikan
tigerfish dan Mongolia dengan ikan taimen. Di sini, kita mempunyai ikan
kelah yang merupakan salah satu perenang paling laju dalam habitat air
tawar. Walaupun begitu, kelah tidak ada kaitan langsung dengan ikan-ikan
tersebut. Saudara terdekatnya ialah ikan barber (Barbus barbus) di U.K dan
yang paling hampir ialah ikan mahseer (Barbus tor) di India dan Nepal. Ikan
barbel sangat terkenal kerana kehebatan tarikannya tetapi oleh kerana
sungai-sungai Britain adalah tenang dan bebas daripada tunggul, para
pemancing di sana suka menggunakan tali halus dengan ketahanan 8 hingga 12
paun. Walau bagaimanapun ikan mahseer lebih hebat kerana boleh melebihi 100
paun dan kita terpaksa bertarung di kawasan berair deras dan luas seperti
Sg. Ganges dan Cauvery. Tali tangsi melebihi 40 paun sepanjang 200 hingga
350 ela perlu digunakan. Gergasi ini berupaya bertarung sejauh beberapa
kilometer dalam sungai tersebut dan ada pemancing yang mati lemas ketika
bertarung dengannya!

Berdasarkan saiz dan tenaga, kelah boleh dikategorikan antara kedua-dua
spesies ikan tersebut. Tetapi jika dilihat dari segi cabarannya, ia hampir
menyaingi kepayahan memancing mahseer India. Ini adalah kerana
sungai-sungai pergunungan kita adalah lebih kecil, lebih deras dan dipenuhi
dengan batu pejal dan kayu balak tenggelam sehingga menjadikan cara
penyampaian umpan dan pertarungan menjadi sangat sukar.

Kelah Gergasi

Jadi, sejauh mana ikan kelah boleh membesar? Kisah kelah gergasi yang pemah
saya dengari ialah daripada Pak The Ridzuan iaitu pakar terbol dari
Semenyih. Semasa Pak Teh masih kecil, beliau pernah terserempak dengan
seorang lelaki yang berjaya menangkap kelah seberat 40 kati (lebih kurang
27 kg) daripada Sg. Kerling. Namun, kelah terbesar pernah saya dengar
setakat ini ialah seberat 18 kg dari Sg. Galas, Kelantan.

Sekarang ini, kelah seberat 12 kg pun sudah dikira sangat sukar dipancing.
Jika dapat pun lebih baik diambil gambarnya dan lepaskan semula kerana
kelah mengambil masa yang tersangat lama untuk membesar. Kelah seberat 4 kg
mungkin mengambil masa 10 tahun untuk mencapai berat tersebut dan ikan
betina dikatakan matang pada tahap umur ini. Penangkapan kelah bersaiz
besar telah menyebabkan spesies ikan ini semakin pupus di negara kita.
Memang benar, daging kelah sangat enak sampai sisiknya pun boleh dimakan
lebih-lebih lagi kalau dipanggang tetapi fikirlah akan masa depannya.
Sama-samalah kita berusaha melindungi spesies ini daripada terus Iuput agar
kesenian dan kesukanan memancing kelah turut dapat dinikmati oleh generasi
akan datang.

Rahsia Kelah alias TOMBRO atau TAMBRA
Oleh : Aznir Malek : PANCING Mei 1998

Tiada ulasan:

Catat Ulasan